KUALA LUMPUR, 21 Disember:

Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Zairil Khir Johari meluahkan rasa sedihnya, apabila seorang pemimpin terhormat seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, merendahkan diri sehingga menggambarkan senario yang bukan sahaja mustahil, bahkan penuh tipu muslihat.
Dia berkata demikian, susulan laporan media yang memetik bekas Perdana Menteri itu sebagai berkata, masyarakat Melayu sudah hilang dominasi dan telah diremehkan sehingga menjadi ‘pengemis’ kepada orang Cina.
Dr Mahathir dilaporkan sebagai berkata: “Sekarang UMNO, PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan PAS perlu meminta sokongan daripada DAP untuk memenangi pilihan raya umum. Apabila kita menjadi pengemis, kita tidak lagi mempunyai kuasa.”
Zairil sebaliknya berpendapat, orang Melayu sebenarnya berada di kemuncak dalam semua aspek.
“Daripada segi politik, setiap jawatan penting kerajaan, daripada Perdana Menteri Kerajaan Persekutuan, 12 daripada 13 Menteri Besar terdiri daripada orang Melayu.
“Dominasi Melayu juga sangat jelas dalam institusi-institusi negara, seperti badan kehakiman, pasukan polis, perkhidmatan awam dan tentera.
“Jika itu tidak mencukupi, Melayu juga membentuk majoriti penduduk Malaysia, selain mencatatkan kadar kesuburan yang satu setengah kali lebih daripada orang Cina.
“Ini bermakna orang Cina dan kaum-kaum lain semakin mengecil dari segi populasi penduduk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Daripada segi ekonomi pula, Ahli Parlimen Bukit Bendera itu berpendapat, meskipun pemilikan ekuiti Melayu pada tahun-tahun awal Dasar Ekonomi Baru mungkin dalam digit tunggal, pemilikan itu telah berkembang pesat sejak beberapa dekad lalu.